8 November 2023 – Putra Heights
Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) telah melancarkan Kempen Pemasaran dan Promosi Produk Perkayuan Malaysia di Pasaran Tempatan bertempat di Stesen LRT Putra Heights, Selangor. Kempen ini telah dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK), YBhg. Dato’ Haji Mad Zaidi Mohd Karli.
Kempen Pemasaran dan Promosi Produk Perkayuan Malaysia di Pasaran Tempatan ini merupakan kempen bagi menggalakkan penggunaan kayu tempatan di kalangan pihak-pihak yang berkepentingan dan orang awam. Kempen ini dijenamakan semula selepas kali terakhir diadakan pada tahun 2009 selari dengan perkembangan semasa industri perkayuan yang mementingkan nilai kelestarian di sepanjang rantaian pemprosesan produk.
Pelaksanaan kempen ini diterjemahkan melalui program-program promosi melalui media massa antaranya televisyen, radio, papan iklan, surat khabar selain platform media sosial seperti instagram, Facebook dan Youtube.